BLOGGER TEMPLATES AND MySpace Layouts »

Jumat, 22 Februari 2013

Faktor remaja lari dari rumah (kabur)

       Mutakhir ini, kes remaja lari dari rumah merupakan sesuatu yang lumrah dalam kalangan masyarakat kita. Hampir setiap hari sekiranya kita meneliti akhbar, pasti akan ada laporan yang menyentuh akan hal tersebut. Adakalanya kes tersebut dapat diselesaikan melalui siasatan polis dan ada juga yang terbiar begitu sahaja. Umum mengetahui, remaja merupakan individu yang berumur antara 10 tahun hingga 24 tahun. Remaja mudah memberontak sekiranya kehendak mereka tidak dipenuhi sepenuhnya. Jadi, punca yang menyebabkannya haruslah dikenal pasti secepat mungkin supaya masalah ini tidak berlarutan. Remaja merupakan waris bangsa, oleh itu mereka haruslah diberikan perhatian sewajarnya agar tidak terjebak dalam kes tersebut.


        Antara faktor yang menyebabkan remaja lari dari rumah ialah longgarnya hubungan kekeluargaan. Masyarakat kita kini lebih bersifat materialistik. Kebanyakan ibu bapa sibuk dengan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa untuk bersama anak-anak. Ibu bapa pergi kerja pada awal pagi sebelum anak-anak bangun tidur dan apabila pulang dari kerja, anak-anak sudahpun tidur. Maka keadaan ini menyebabkan anak-anak tidak sempat bersama-sama ibu bapa mereka. Akibatnya, interaksi dan komunikasi sesama keluarga menjadi renggang maka anak-anak terabai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula membenci ibu bapa dan keluarga serta sering bertindak meninggalkan keluarga mereka.

        Keruntuhan institusi keluarga akibat pertelingkahan antara ibu bapa juga menyebabkan anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga dalam kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya, keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak dengan melarikan diri dari rumah.

Selain itu, terjebak dalam sesuatu kes jenayah juga boleh mendorong seseorang remaja itu lari dari rumah. Terdapat juga remaja lari dari rumah kerana malu dan takut diketahui oleh keluarga apabila terlibat dalam kegiatan salah laku yang serius. Hal ini demikian biasanya berlaku dalam kalangan gadis. Gadis remaja yang suka berpelesiran mudah ditipu oleh pihak tertentu yang suka mengambil kesempatan, misalnya mereka melibatkan seseorang gadis dalam kancah maksiat seperti pelacuran. Apabila mereka terlanjur dan bimbang tidak diterima lagi oleh keluarga, mereka melarikan diri dari rumah. Namun begitu, adakalanya kes tersebut dapat dikesan oleh pihak berkuasa dan dikembalikan ke pangkal jalan. Paling mengejutkan, mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM), ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang. Perkembangan ini amat membimbangkan kerana pada usia masih mentah, golongan terbabit sebenarnya berisiko tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan, sama ada dirogol, dilacurkan atau dibunuh.
       Selain itu ada juga golongan remaja yang melarikan diri lari dari rumah kerana mengikut kekasih. Dunia remaja penuh dengan emosi dan ramai antara remaja kini terlalu mengikut perasaan. Akibat perhubungan bebas antara lelaki dengan perempuan, ramai antara mereka menjalani alam percintaan pada usia yang terlalu muda. Masalah akan timbul apabila hubungan tidak direstui oleh ibu bapa. Untuk menghadapi masalah ini, mereka mengambil jalan mudah, iaitu lari dari rumah. Di samping itu, ada juga gadis lari dari rumah kerana terpengaruh dengan janji manis pasangan yang sebenarnya ingin memperdayakan mereka.

       Kurang didikan agama juga boleh menyebabkan seseorang remaja itu tidak dapat bertindak secara rasional apabila berhadapan dengan sesuatu masalah. Pendidikan agama dapat dijadikan benteng yang kukuh untuk menahan seseorang daripada melakukan perkara yang tidak baik. Walau bagaimanapun, ramai antara ibu bapa kini tidak memberikan perhatian sewajarnya terhadap hal ini. Remaja yang kurang berpendidikan agama mudah mengikut perasaan serta kurang kesedaran terhadap peranan dan tanggungjawab mereka kepada ibu bapa dan keluarga. Mereka mudah terikut-ikut dengan keadaan persekitaran yang tidak sihat dan terjebak dalam gejala sosial, termasuklah melarikan diri dari rumah apabila timbul sesuatu masalah yang dianggap membebankan.
       Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga mempengaruhi remaja lari dari rumah. Lazimnya mereka lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding dengan ibu bapa dan adik-beradik sendiri. Oleh itu, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat terhadap mereka. Para remaja yang melarikan diri dari rumah berasa lebih bebas dan menyeronokkan kerana tidak lagi diawasi oleh ibu bapa. Sesetengah rakan sebaya pula sanggup mencabar rakannya yang lain agar melakukan sesuatu dan jika remaja itu tidak menyahut cabaran tersebut, mereka akan disingkirkan atau tidak diiktiraf sebagai anggota kumpulan mereka. Keadaan ini tentunya akan memburukkan lagi keadaan, terutamanya bagi remaja yang memang bermasalah.

      Bagi mengatasi masalah ini, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Pergerakan anak-anak haruslah sentiasa di pantau serta memastikan anak-anak mereka bergaul dengan rakan yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Pihak sekolah haruslah mengenal pasti pelajar yang bermasalah dengan memberikan bimbingan kaunseling. Bimbingan kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantikan dalam memantapkan perlaksaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. Oleh itu, remaja yang bermasalah akan dapat mengawal emosi setelah diberi bimbingan tersebut.

      Remaja ialah aset yang amat berharga bagi negara dan kepada merekalah yang akan mencorak masa depan negara pada masa akan datang. Remaja juga tanggungjawab meneruskan kesinambungan tradisi budaya dan bangsa. Sekiranya ramai antara mereka terlibat dengan gejala sosial, maka terjejaslah maruah negara. Oleh itu, ibu bapa mestilah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak di samping menunjukkan kasih sayang dan perhatian yang sewajarnya agar mereka merasakan kehadiran mereka diterima dan dihargai oleh ibu bapa. Dalam pada itu, remaja juga mestilah tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka tidak seharusnya terlalu mengikut perasaan, sebaliknya perlu memahami kedudukan ibu bapa dan keluarga.
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar