Mutakhir
ini, kes remaja lari dari rumah merupakan sesuatu yang lumrah dalam
kalangan masyarakat kita. Hampir setiap hari sekiranya kita meneliti
akhbar, pasti akan ada laporan yang menyentuh akan hal tersebut.
Adakalanya kes tersebut dapat diselesaikan melalui siasatan polis dan
ada juga yang terbiar begitu sahaja. Umum mengetahui, remaja merupakan
individu yang berumur antara 10 tahun hingga 24 tahun. Remaja mudah
memberontak sekiranya kehendak mereka tidak dipenuhi sepenuhnya. Jadi,
punca yang menyebabkannya haruslah dikenal pasti secepat mungkin supaya
masalah ini tidak berlarutan. Remaja merupakan waris bangsa, oleh itu
mereka haruslah diberikan perhatian sewajarnya agar tidak terjebak dalam
kes tersebut.
Antara
faktor yang menyebabkan remaja lari dari rumah ialah longgarnya
hubungan kekeluargaan. Masyarakat kita kini lebih bersifat
materialistik. Kebanyakan ibu bapa sibuk dengan kerjaya sehingga tidak
mempunyai masa untuk bersama anak-anak. Ibu bapa pergi kerja pada awal
pagi sebelum anak-anak bangun tidur dan apabila pulang dari kerja,
anak-anak sudahpun tidur. Maka keadaan ini menyebabkan anak-anak tidak
sempat bersama-sama ibu bapa mereka. Akibatnya, interaksi dan komunikasi
sesama keluarga menjadi renggang maka anak-anak terabai. Keadaan ini
menyebabkan anak-anak yang ketagih kasih sayang mengalami perasaan
kecewa dan tekanan jiwa. Apabila keadaan ini berterusan, anak-anak mula
membenci ibu bapa dan keluarga serta sering bertindak meninggalkan
keluarga mereka.
Keruntuhan
institusi keluarga akibat pertelingkahan antara ibu bapa juga
menyebabkan anak-anak lari dari rumah. Ketiadaan persefahaman dan
kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga dalam kalangan suami isteri
sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya,
keharmonian dan kestabilan keluarga terjejas. Apabila keadaan ini
berterusan, anak-anak menjadi bosan dan menanggung penderitaan jiwa lalu
bertindak memberontak dengan melarikan diri dari rumah.
Selain
itu, terjebak dalam sesuatu kes jenayah juga boleh mendorong seseorang
remaja itu lari dari rumah. Terdapat juga remaja lari dari rumah kerana
malu dan takut diketahui oleh keluarga apabila terlibat dalam kegiatan
salah laku yang serius. Hal ini demikian biasanya berlaku dalam kalangan
gadis. Gadis remaja yang suka berpelesiran mudah ditipu oleh pihak
tertentu yang suka mengambil kesempatan, misalnya mereka melibatkan
seseorang gadis dalam kancah maksiat seperti pelacuran. Apabila mereka
terlanjur dan bimbang tidak diterima lagi oleh keluarga, mereka
melarikan diri dari rumah. Namun begitu, adakalanya kes tersebut dapat
dikesan oleh pihak berkuasa dan dikembalikan ke pangkal jalan. Paling
mengejutkan, mengikut statistik orang hilang Polis Diraja Malaysia
(PDRM), ada kes mengikut teman lelaki membabitkan remaja perempuan
seawal usia 10 tahun, manakala peringkat umur 14 dan 17 tahun adalah
paling ramai terbabit iaitu 4,097 orang. Perkembangan ini amat
membimbangkan kerana pada usia masih mentah, golongan terbabit
sebenarnya berisiko tinggi menjadi mangsa jenayah kekerasan, sama ada
dirogol, dilacurkan atau dibunuh.
Selain
itu ada juga golongan remaja yang melarikan diri lari dari rumah kerana
mengikut kekasih. Dunia remaja penuh dengan emosi dan ramai antara
remaja kini terlalu mengikut perasaan. Akibat perhubungan bebas antara
lelaki dengan perempuan, ramai antara mereka menjalani alam percintaan
pada usia yang terlalu muda. Masalah akan timbul apabila hubungan tidak
direstui oleh ibu bapa. Untuk menghadapi masalah ini, mereka mengambil
jalan mudah, iaitu lari dari rumah. Di samping itu, ada juga gadis lari
dari rumah kerana terpengaruh dengan janji manis pasangan yang
sebenarnya ingin memperdayakan mereka.
Kurang didikan agama juga boleh menyebabkan seseorang remaja itu tidak
dapat bertindak secara rasional apabila berhadapan dengan sesuatu
masalah. Pendidikan agama dapat dijadikan benteng yang kukuh untuk
menahan seseorang daripada melakukan perkara yang tidak baik. Walau
bagaimanapun, ramai antara ibu bapa kini tidak memberikan perhatian
sewajarnya terhadap hal ini. Remaja yang kurang berpendidikan agama
mudah mengikut perasaan serta kurang kesedaran terhadap peranan dan
tanggungjawab mereka kepada ibu bapa dan keluarga. Mereka mudah
terikut-ikut dengan keadaan persekitaran yang tidak sihat dan terjebak
dalam gejala sosial, termasuklah melarikan diri dari rumah apabila
timbul sesuatu masalah yang dianggap membebankan.
Selain
itu, pengaruh rakan sebaya juga mempengaruhi remaja lari dari rumah.
Lazimnya mereka lebih banyak bergaul dengan rakan sebaya berbanding
dengan ibu bapa dan adik-beradik sendiri. Oleh itu, rakan sebaya
mempunyai pengaruh yang kuat terhadap mereka. Para remaja yang melarikan
diri dari rumah berasa lebih bebas dan menyeronokkan kerana tidak lagi
diawasi oleh ibu bapa. Sesetengah rakan sebaya pula sanggup mencabar
rakannya yang lain agar melakukan sesuatu dan jika remaja itu tidak
menyahut cabaran tersebut, mereka akan disingkirkan atau tidak diiktiraf
sebagai anggota kumpulan mereka. Keadaan ini tentunya akan memburukkan
lagi keadaan, terutamanya bagi remaja yang memang bermasalah.
Bagi mengatasi masalah ini, peranan ibu bapa adalah amat penting dalam
memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Pergerakan
anak-anak haruslah sentiasa di pantau serta memastikan anak-anak mereka
bergaul dengan rakan yang mempunyai kedudukan moral yang baik. Pihak
sekolah haruslah mengenal pasti pelajar yang bermasalah dengan
memberikan bimbingan kaunseling. Bimbingan kaunseling di peringkat
sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka.
Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang
berkelayakan dan berpengalaman dilantikan dalam memantapkan perlaksaan
dan keberkesanan kaunseling tersebut. Oleh itu, remaja yang bermasalah
akan dapat mengawal emosi setelah diberi bimbingan tersebut.
Remaja ialah aset yang amat berharga bagi negara dan kepada merekalah
yang akan mencorak masa depan negara pada masa akan datang. Remaja juga
tanggungjawab meneruskan kesinambungan tradisi budaya dan bangsa.
Sekiranya ramai antara mereka terlibat dengan gejala sosial, maka
terjejaslah maruah negara. Oleh itu, ibu bapa mestilah memberikan
pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak di samping menunjukkan kasih
sayang dan perhatian yang sewajarnya agar mereka merasakan kehadiran
mereka diterima dan dihargai oleh ibu bapa. Dalam pada itu, remaja juga
mestilah tahu akan tanggungjawab mereka. Mereka tidak seharusnya terlalu
mengikut perasaan, sebaliknya perlu memahami kedudukan ibu bapa dan
keluarga.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar